Senin, 16 Desember 2013

JUMAAT, 23 MAC 2012




KUANTAN – “Saya tidak mahu dia diganggu lagi. Biarlah dia tenangkan fikiran dahulu,” kata ibu kepada remaja yang didakwa diculik, Nor Mala Mohd Lazin, 33.

Katanya, dia sudah bertemu dengan anaknya, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, semalam, tetapi terpaksa menempatkan Fatihah di tempat yang dirahsiakan bagi memberi ruang anaknya melepaskan tekanan.

“Buat masa ini, saya tidak mahu dia berjumpa sesiapa selain ahli keluarga­. Saya tidak mahu fikiran dia terus terganggu berikutan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang semalam, sudah menyerahkan Fatihah kepada keluarganya­ selepas diberi kaunseling oleh pegawai JKM.

Pengarah JKM negeri, Datuk Shamsiah Husin berkata, pada mulanya, Siti Nur Fatihah tidak mahu pulang ke pangkuan keluarganya, tetapi selepas dipujuk pegawai JKM dia akhirnya bersetuju untuk pulang ke rumah.

“Pihak kami telah menyerahkan Fatihah kepada keluarganya petang semalam, tetapi kami tidak pasti sama ada dia kini di rumah ibunya atau rumah neneknya,” katanya di sini, semalam.

Tambahnya lagi, pihak JKM juga mengaturkan sesi kaunseling iaitu sekurang-kurangnya tiga kali seminggu kepada Fatihah.

“Kita akan meneruskan sesi kaunseling itu sehingga dia kembali pulih seperti biasa,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Fatihah mempunyai masalah dengan keluarganya, beliau enggan mengulas lanjut.

Media sebelum ini melaporkan Siti Nur Fatihah hilang dipercayai diculik ketika keluar bersama dua adiknya untuk membeli kad nilai tambah pra bayar di sebuah kedai telefon bimbit berhampiran rumahnya di Taman Tas, di sini.

Bagaimanapun semalam, remaja itu akhirnya mengaku dia tidak diculik, tetapi dengan rela hati melarikan diri ke rumah teman lelakinya di Kampung Merchong, Pekan.

0 komentar:

Posting Komentar

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!