Jumat, 20 Desember 2013


IPOH – Malaysia mengesahkan tempat di separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Asia kesembilan selepas muncul naib juara Kumpulan A apabila mengalahkan Jepun 4-2 pada perlawanan peringkat kumpulan yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Selasa.

Skuad bimbingan Paul Revington itu mengiringi pendahulu Kumpulan A iaitu Pakistan ke perlawanan pusingan separuh akhir, yang dijadual berlangsung Jumaat ini.

Malaysia hampir pasti menempuh laluan sukar apabila dijadual berdepan juara kumpulan B iaitu India, yang merupakan kuasa besar Asia, pada aksi separuh akhir nanti.

Pasukan Matahari Terbit, Jepun bermula garang apabila menghasilkan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti oleh Toshiro Tashibana seawal minit keempat sebelum Kei Kawakami menggandakan jaringan pada minit kelapan.

Tertekan dengan kedudukan 0-2, skuad hoki negara bertali arus melancarkan serangan bagi memecah kubu pertahanan Jepun, dan Muhammad Razie Abd Rahim akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama Malaysia menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-13.

Muhammad Firhan Ashaari berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol padang pada minit ke-27.

Bersambung babak kedua perlawanan, anak didik Paul Revington menjaringkan gol ketiga menerusi Faizal Saari pada minit ke-59 sebelum Azlan Misron menambah luka Jepun dengan gol keempat pada minit ke-66.

Pada saingan sebelah petang, Pakistan yang turut beraksi dalam kumpulan A terlebih dahulu mengesahkan tempat ke separuh akhir apabila membelasah Taiwan 13-0.

Juara tiga kali Piala Asia edisi 1982, 1985 dan 1989 selaku pendahulu kumpulan itu dijadual bertemu Naib Juara kumpulan B, sama ada Korea Selatan atau Oman pada aksi separuh akhir, Jumaat ini.- BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!