KUALA LUMPUR – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pulau Pinang mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran habuk besi dan bunyi bising yang dihadapi kira-kira 200 penduduk Kampung Padang Lalang dekat Nibong Tebal daerah Seberang Perai Selatan (SPS).
Presidennya, S.M.Mohamed Idris mendakwa, masalah yang berpunca dari operasi sebuah kilang berhampiran kampung itu sudah lama berlaku tetapi tidak ada tindakan berkesan diambil oleh pihak berkuasa untuk menanganinya.
“Akibatnya penduduk-penduduk yang terlibat mengalami gatal kulit, lelah dan batuk. Habuk besi dari kilang ini juga mengotori rumah mereka dan mencemarkan makanan yang dihidang.
“Selain pencemaran habuk besi, penduduk turut mengalami gangguan bunyi bising kerana pengusaha kilang itu menggunakan generator untuk mengayak bahan tersebut,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Justeru, katanya, SAM kesal kerana kejadian yang telah lama mengancam kehidupan penduduk kampung berkenaan tidak mendapat perhatian pihak berkuasa menyebabkan sekumpulan penduduk mengadakan bantahan di hadapan kilang itu baru-baru ini.
Beliau mendakwa berasa khuatir masalah pencemaran yang berlaku itu akan menjejaskan kesihatan penduduk dalam jangka masa panjang terutama golongan kanak-kanak.
Sehubungan itu, katanya, SAM menggesa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Kesihatan mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha kilang terbabit.
“SAM mendapat tahu kilang tersebut beroperasi secara haram dan pernah dirobohkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) namun kegiatannya masih diteruskan hingga sekarang.
“SAM menegaskan tindakan undang-undang perlu diambil jika kilang ini melanggar peraturan-peraturan yang termaktub di bawah akta berkaitan,” katanya lagi.
Beliau turut mencadangkan supaya penduduk yang terjejas kesihatan atau mengalami kerugian akibat kesan pencemaran yang berlaku diberi pampasan yang sewajarnya.
0 komentar:
Posting Komentar