KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Bandar dan Wilayah mempertimbang untuk membenarkan penangguhan bayaran balik bulanan pinjaman Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) bagi perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir.
Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata jika diluluskan, penangguhan itu akan berkuat kuasa selama enam bulan mulai 1 Jan hingga Jun tahun depan.
“Kita harap langkah ini dapat memberi ruang kepada usahawan berkenaan untuk memulihkan semula perniagaan yang terjejas.
“Kita bersama-sama dengan Bank Pelaksana SPED akan menubuhkan jawatankuasa bagi menangani isu ini dalam kadar segera,” katanya dalam sidang akhbar selepas bertemu wakil Kelab Umno Luar Negara bersempena Perhimpunan Agung Umno 2013 di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah usahawan di bawah skim itu yang menjadi mangsa banjir.
SPED mula dilaksana pada 2001 dan sehingga kini, kelulusan diberi kepada 3,344 syarikat menerusi peruntukan berjumlah kira-kira RM332 juta dengan jumlah pinjaman antara RM20,000 dan RM500,000.
Mohd Shafie berkata kementerian amat bersimpati dengan bencana yang menimpa rakyat, khasnya usahawan di kawasan terjejas, dan berharap penangguhan bayaran balik ini dapat membantu meringankan beban mereka. – BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar